Search the web
Sign In
New User? Sign Up
bruastronomy · BruAstronomy! Brunei Astronomy Forum
? Already a member? Sign in to Yahoo!

Yahoo! Groups Tips

Did you know...
Want your group to be featured on the Yahoo! Groups website? Add a group photo to Flickr.

Best of Y! Groups

   Check them out and nominate your group.
Having problems with message search? Fill out this form to ensure your group is one of the first to be migrated to the new message search system.

Messages

  Messages Help
Advanced
FENOMENA ASTRONOMI DARI SUDUT ASTROLOGI   Message List  
Reply | Forward Message #335 of 557 |

KERTAS KERJA INI AKAN DIBENTANGKAN DI 'KOLOKIUM PENGHAYATAN SAINS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM' DI UUM SINTOK, KEDAH PADA 23 JULAI 2005.
 
TENTATIF PROGRAM:
 
MASA: 8 PAGI (PENDAFTARAN) HINGGA 5 PETANG
TEMPAT: DEWAN SEMINAR A, PUSAT KONVENSYEN UUM.
PERASMIAN OLEH: YBH. NAIB CANSELOR UUM, DATUK DR. NORDIN KARDI
KERTAS KERJA I: ILMU FALAK SYARIE DAN ANDA OLEH DR. AZHARI B. MOHAMED (10.00 - 11.30 PAGI)
KERTAS KERJA II: FENOMENA ASTRONOMI DARI SUDUT ASTROLOGI OLEH EN. NOR AZAM MAT NOOR (11.30 PAGI - 1.00 TGH.)
KERTAS KERJA III: HUBUNGAN AL QURAN DAN ILMU ASTRONOMI OLEH PROF. MADYA DR. ABDUL HALIM ABDUL AZIZ (2.30 - 4.30 PTG.)
 
JIKA BERMINAT SILA HUBUNGI TALIAN 04-9284524 ATAU 019-2981449 (AZLINA, PENGARAH PROGRAM).
 
__________________________________________________________________________________________________________________
 

FENOMENA ASTRONOMI DARI SUDUT ASTROLOGI

 

Oleh:

Nor Azam bin Mat Noor

Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera

Universiti Sains Malaysia

11800 Pulau Pinang

Emel: azam@..., azzameen@...

 

ABSTRAK

 

Peristiwa falak atau fenomena astronomi (astronomical phenomenon) berlaku selagi ada ruang dan waktu (space and time). Menurut Ibnu Sina, waktu hanya boleh difahami bila dihubungkan dengan gerak. Tidak ada gerak apabila tidak ada waktu dan bahawasanya hukum alam sudah diciptakan untuk mengatur dirinya sendiri setelah ia diciptakan oleh Tuhan. Pemahaman dan pandangan Ibnu Sina sebegini jauh lebih maju dari Aristoteles. Sesungguhnya, alam semesta semenjak era purba sebaik letusan perdana yang mewujudkannya telah berkembang hingga ke saat ini. Segala apa saja jasad alam semesta telah diaturkan perjalanannya sedemikian rupa oleh Pencipta Yang Maha Agung. Ini telah memberikan peluang kepada manusia untuk mencari sekian banyak nilai empirikal dan parameter yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk formula dan jadual yang konstan agar mereka dapat memanfaatkannya demi kelangsungan hidup hingga di waktu yang ditentukan oleh Tuhan. Namun, fenomena astronomi juga telah memberikan pelbagai versi yang berlainan dalam pemahaman manusia terhadap cakerawala di masa-masa lampau dengan mengaitkan gejala kelangitan dengan perlakuan manusia atau keadaan sekelilingnya. Artikel ini akan mengulas sejauh mana relevannya pandangan manusia masa lampau dan adakah masih terdapat kebenaran ataupun merupakan kebetulan-kebetulan yang silih berganti di sepanjang kehidupan manusia kala itu.

 

 

1.0  Astronomi dari sumber wahyu

 

Perkataan astronomi adalah berasal dari bahasa Yunani (Greek) iaitu ‘astron-nemo’ yang bermaksud ‘penyusunan bintang’. Tata cara ‘menyusun bintang’ ini berlaku apabila manusia pada zaman silam melihat bintang-bintang di langit menurut imaginasi mereka demi memudahkan mereka mengenali kumpulan-kumpulan bintang yang digelar ‘buruj’. Oleh itu wujudlah buruj-buruj hasil penyusunan bintang-bintang itu seperti buruj Dacing (Libra), Kala Jengking (Scorpius), Si Pemburu (Orion) dan bermacam-macam lagi. Kesemua gambaran yang tercerna dari imaginasi mereka itu kebanyakannya berpunca dari cerita-cerita hikayat atau kisah-kisah yang berlaku pada masa itu akibat mengagumi satria (pahlawan) ataupun puteri-puteri jelitawan dan sebagainya.

 

Timbul kekeliruan di sini kenapa bidang ilmu astronomi Islam gagasan oleh bangsa Arab telah disebut sebagai ilmu falak dan bukannya ‘ilmu an najmi’ (nujum) yang bermaksud bintang? Perkataan najam (bintang) nampaknya tidak dipakai secara menyeluruh oleh umat Islam sebagaimana meluasnya perkataan ‘astron’ bagi erti yang sama dalam bahasa Greek. Sebenarnya, hal sebegini berlaku disebabkan oleh terbahaginya dua fungsi ilmu perbintangan yang digunakan oleh umat Islam terdahulu apabila mereka mengalami kesukaran untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai ilmu bintang yang berlandaskan alam tabi’i dengan ilmu bintang yang meramal nasib manusia. Justeru, ilmu falak timbul apabila kajian alam tabi’i dibuat dengan tidak mengaitkan nasib hidup manusiawi kerana perkataan falak lebih cenderung untuk mengkaji segala perjalanan cakerawala yang berputar dan bergerak menurut hukum-hukum tertentu sedangkan ilmu nujum terlalu mementingkan ‘semangat kelangitan’ yang mempengaruhi segala aspek hidup manusia. Tamadun Yunani juga menghadapi dilema yang sama dengan tamadun Arab apabila terpaksa memberikan takrif yang berbeza untuk dua kajian perbintangan yang sama tetapi dalam hala yang berbeza iaitu ‘astronomi’ sebagai maksud ‘astro-tulen’ manakala ‘astrologi’ sebagai ‘astro-ramal’. Jadi, dua perspektif ini telah berkembang menjadi disiplin yang sangat berlainan tetapi masih dalam kajian yang sama iaitu bertunjangkan kepada gejala cakerawala atau peristiwa falak.

 

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Yasin ayat 38 hingga 40 sepertimana berikut:

 

 

Dan Matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Dan Kami tetapkan bagi Bulan beredar melalui beberapa peringkat sehingga di akhir peredarannya kembali  seperti bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi Matahari mendapatkan Bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang, dan masing-masing  beredar pada garis orbitnya.

 

Menariknya ialah perkataan FALAK yang terbit dari kalimat “kullun fi falakiy yasbahun” (masing-masing beredar pada garis orbitnya) ditunjukkan dalam Rajah 1:

 

 

Rajah 1. Kalimat ‘kullun fi falakiy yasbahun’

 

Rajah 1 menunjukkan bagaimana perkataan FALAKIN atau ORBIT yang dibentuk oleh frasa FA, LAM dan KAF tetapi apabila disongsangkan (flip) secara mengufuk akan berubah menjadi KAF, LAM dan FA untuk membentuk kembali perkataan KULLUN FI. Manakala perkataan FI iaitu dari gabungan FA dan YA akan menerbitkan kembali kalimat FALAKIN YASBAHUN. Oleh itu perkataan FALAK sepertimana yang disampaikan dalam firman Allah adalah membawa pengertian ORBIT atau PEREDARAN kerana ayat FI FALAKIN ini menunjukkan ‘satu putaran’ telah berlaku yang seakan-akan berputar kembali untuk membentuk kalimat “kullun fi falakiy yasbahun”.

 

Demikian juga dengan ayat ke-41 yang berturutan yang bermaksud: “Dan bukti (kebesaran Allah) ialah Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh sarat”.

 

 

Ayat ke-41 ini masih mempunyai perkataan falak tetapi telah dieja sebagai FULKI. Jika perkataan FALAK membawa maksud ‘orbit’ maka perkataan FULKI pula bermaksud ‘bahtera’. Walaupun ayat ini boleh memberi kefahaman bahawa bahtera Nabi Nuh yang mengangkut manusia dan haiwan pada ketika banjir besar ribuan tahun dahulu tetapi tidakkah Bumi yang kita berada di atasnya ini adalah juga dianggap sebagai bahtera yang membawa kita mengharungi samudera angkasa yang terbentang luas? Ini secara langsung menunjukkan bahawa perkataan FALAK dan FULKI adalah berkait rapat dan telah digunakan secara serentak bagi menghubungkan kedua-dua ayat 40 dan 41 untuk istilah ‘orbit’ dengan ‘bahtera’ di mana Bumi adalah sebagai satu bahtera yang berada di atas landasan orbit itu.

 

 

Rajah 2. Bumi sebagai sebuah ‘bahtera’ (fulki atau ark) yang membawa umat manusia di atasnya merentasi samudera angkasa yang luas terbentang. Kelihatan jaluran cerah Galaksi Bima Sakti di mana Bumi berada di garis hijau landasan laluannya (falak atau orbit).

 

Pada dasarnya kebanyakan dari kisah-kisah kejadian langit dan Bumi adalah bersumberkan dari Al Quran dan Hadis namun banyak juga unsur-unsur Israiliyyat yang menyerap dalam kebanyakan hadis Nabi SAW. Ini memandangkan banyak sekali penulis-penulis awalnya yang berasal dari ulama Yahudi umpamanya Ka’ab Al Ahbar dan Wahab bin Munabbih malahan As Sa’labi sendiri merupakan penafsir Quran yang banyak dipengaruhi oleh tafsir Israilliyyat. Bagaimanakah contoh-contoh Israiliyyat ini?

 

Kita melihat bahawa salah satu aspek kosmologi Islam yang menyerap ke alam Melayu dengan kisah-kisah pelik kejadian langit dan Bumi iaitu awal kejadian yang pertama yang bermula dengan cahaya, air dan api seterusnya penciptaan Bumi ini. Kemudian dijadikan ikan paus raksasa diikuti oleh lembu besar yang mempunyai banyak tanduk yang berada di atas ikan paus itu. Di atas salah satu tanduk lembu itu pula diletakkan Bumi yang mana apabila berubah sahaja posisi Bumi ke atas tanduk-tanduk yang lain maka akan berlakulah gempa.

 

Menarik untuk ditunjukkan satu riwayat Israilliyat berkenaan pertanyaan Abdullah bin Abdus Salam kepada Rasulullah: “Dan ada apakah di balik Bumi itu? Sabda Rasul SAW: dibalik Bumi itu ada tujuh puluh ribu alam dan setiap daripada alam itu ada sejumlah malaikatnya. Dan ada apakah pula di balik itu? Sabdanya: ada seekor ular yang melingkari alam itu. Ada apa pula dibalik Bumi itu? Sabda SAW: ada tujuh lapis Bumi serta sejumlah malaikat. Dan Bumi itu di atas apa? Sabdanya: adalah Bumi itu atas seekor lembu, adalah lembu itu di atas sebuah batu, kemudian batu itu di atas seekor ikan dan ikan itu berada di atas laut yang luasnya laut itu seribu tahun perjalanan.

 

Sebuah kitab agama terbitan Dar Al Ma’arif, Pulau Pinang yang bercampur dengan kisah-kisah yang tidak jelas sumbernya ialah Qishashul Anbiya terjemahan daripada bahasa Arab oleh Al Haj Azhari Al Khalidi dengan secebis ringkasannya adalah seperti berikut: “Maka, bumi yang tujuh lapis itu pun diletakkan di atas tanduk lembu itu. Apabila lembu itu berasa penat dialihnya bumi itu dari satu tanduk ke satu tanduk, maka terjadilah gempa di bumi.

 

Rajah 3 mungkin dapat memberikan gambaran yang baik untuk menakwilkan riwayat Israilliyat di atas. Adalah dipercayai bahawa riwayat Israilliyat sebeginilah yang selalu dipertikaikan dan menimbulkan perdebatan oleh umat Islam untuk menolak sesuatu hadis yang dianggap daif atau palsu tanpa mengetahui maksud yang tersirat di sebaliknya. Maksud riwayat Israilliyat di atas menonjolkan beberapa perkara penting iaitu Bumi adalah berada di atas “lembu besar” manakala “lembu besar” ini pula berada di atas “ikan paus” di mana ikan itu pula berada di atas lautan yang luasnya seribu tahun perjalanan. Lautan yang dimaksudkan dalam riwayat Israilliyat ini sebenarnya adalah samudera angkasa (angkasa lepas) manakala jumlah jarak 1000 tahun pula sebenarnya mewakili 24 jam Right Ascension (RA) bagi setiap pusingan orbit semua planet di Sistem Suria. Bahkan maksud 1000 tahun adalah juga bertepatan apabila dikaitkan dengan peranjakan orbit Bumi dari satu buruj ke satu buruj yang sememangnya mengambil masa dalam gandaan 1000 tahun. Sebagai contohnya, anjakan titik Vernal Equinox (Ekuinoks Musim Bunga) pada buruj Aries (Kambing) ke buruj Pisces (Ikan) yang ditempohi oleh Bumi dari 23 September 399 Sebelum Masehi Gregorian hingga 24 September 1107 Masehi Gregorian adalah mengambil masa selama 1506 tahun suria (1553 tahun lunar) yang bermakna dalam lingkungan setiap 1000 tahun.

 

Satu hakikat berkenaan “Bumi di atas tanduk Lembu” ialah ironinya, gempa bumi sememangnya berlaku bukan setakat di sepanjang Bumi ini bergerak dari satu buruj ke satu buruj dalam tempoh 1000 tahun bahkan pada setiap tahun. Ini menjustifikasikan bahawa pergerakan Bumi di sepanjang garis orbit (ekliptik) adalah menghasilkan kesan gempa kerana Bumi sebenarnya mengalami liukan paksi dalam tempoh 25 ribu tahun bahkan dua kali liukan paksi dalam tempoh 50 ribu tahun.

Rajah 3. Buruj Taurus (Lembu) kelihatan berada di atas Buruj Cetus (Raksasa Laut dalam mitologi Greek atau Ikan Paus dalam mitologi Arab) ketika Matahari berada tepat di atas Titik Awal Saur (Taurus) atau Titik Ekuinoks Musim Bunga pada jam 10:52:11 UT, 15 April 3113 Sebelum Masehi Julian atau 20 Mac 3112 Sebelum Masehi Gregorian (25 Muharram 3848 Sebelum Hijrah, Sabtu).

 

Kini telah jelas bahawa pernyataan riwayat Israilliyat yang dikatakan berasal dari sabda Rasulullah SAW yang ‘seakan-akan ganjil’ itu (atau dikatakan dongeng) telah dapat digambarkan dengan munasabah (logik). Jadi, kita dapat membuat kesimpulan bahawa peristilahan dalam ilmu falak menerusi riwayat Israilliyat dan juga sabda Rasul telah berkembang semenjak zaman berzaman dalam bentuk metos dan berbau astrologi tanpa disedari hakikat ilmiahnya oleh ramai umat Islam. Peristilahan dalam ilmu falak pula adalah simbol-simbol yang telah diterbitkan dalam bentuk aksara ringkas di mana perkataan Taurus (Lembu) akan dipaparkan sebagai x. Begitulah simbol-simbol falak yang seterusnya iaitu Hamal (w), Jauzak (y), Sarathan (z), Asad ({), Sunbulah (|), Mizan (}), ’Aqrab (~), Qawus (I), Jadiy () dan Daluw () yang menjadi kependekan untuk memudahkan kefahaman seimbas lalu terhadap peta bintang dan segala dokumentasi falak yang lain.

 

 

Rajah 4. Bumi bertepatan di atas “tanduk lembu” pada jam 02:14:39 UT pada 23 Oktober 4113 SMJ atau 20 September 4112 SMG (24 Dzul Qaedah 4879 Sebelum Hijrah, hari Khamis) bertepatan dengan titik Ekuinoks Musim Bunga.

 

 

Rajah 5. Bumi berada tepat di atas “kepala Lembu” pada jam 15:16:53 UT, 18 Oktober 3400 SMJ atau 21 September 3399 SMG (12 Syawal 4144 SH, Isnin) ketika detik Ekuinoks Musim Bunga.

 

Penulis percaya bahawa banyak lagi kisah Israiliyat yang masih belum dicungkil oleh ramai ulama dan semuanya menunggu hari sahaja untuk dibongkarkan. Penulis berharap satu dimensi baru terhadap pemahaman dalil Quran dan Hadis-hadis Nabi akan dapat dicungkil dan dibongkar melalui pemahaman ilmu sains moden. Bahawasanya ilmu adalah hak untuk semua manusia, tidak ada kategori sesuatu ilmu itu ilmu Islam atau ilmu kafir bahkan semuanya menuju kepada satu matlamat yang sama iaitu mencari kebenaran.

 

2.0 Astrologi Abad Ke-21

 

Kita sekarang berada dalam milenia ke-21, maka tahukah anda bahawa astrologi iaitu horoskop yang kerap dipaparkan kepada kita dalam majalah dan sebagainya sebenarnya adalah ramalan buruj yang tidak tepat kepada tahun yang sebenar. Kenapa? Sebabnya ialah aturan buruj-buruj tidak menepati menurut tarikh yang sepatutnya ia muncul di langit, justeru itu perlu ada satu perubahan yang radikal yang sewajarnya untuk mengubah aturan kedudukan buruj agar ia akan menuruti Jadual 1. Jadual 1 menunjukkan kedudukan sebenar setiap buruj pada setiap bulan apabila matahari beredar pada garis ekliptiknya menyinggahi setiap buruj berkenaan. Kini telah terdapat buruj ke-13 buruj iaitu Ophiuchus, bukannya 12 buruj lagi.

 

Jadual 1. Kedudukan sebenar buruj di zaman moden.

 

TARIKH_A

BURUJ

19/04/2005 – 14/05/2005

Aries (Hamal)

15/05/2005 – 21/06/2005

Taurus (Saur)

22/06/2005 – 20/07/2005

Gemini (Jauzak)

21/07/2005 – 10/08/2005

Cancer (Sarathan)

11/08/2005 – 16/09/2005

Leo (Asad)

17/09/2005 – 31/10/2005

Virgo (Sumbulah)

01/11/2005 – 23/11/2005

Libra (Mizan)

24/11/2005 – 29/11/2005

Scorpius ('Aqrab)

30/11/2005 – 17/12/2005

Ophiuchus (Al Hawa')

18/12/2005 – 19/01/2006

Sagittarius (Qawus)

20/01/2006 – 16/02/2006

Capricornus (Jadiy)

17/02/2006 – 12/03/2006

Aquarius (Daluw)

13/03/2006 – 18/04/2006

Pisces (Hut)

 

Jadi, cubalah anda bandingkan dengan susunan tarikh sebenar dalam horoskop yang telah berusia hampir 3000 tahun itu (385 SM hingga 2005) sepertimana yang ditunjukkan dalam Jadual 2. Ini bermaksud, ramalan horoskop yang anda lihat dalam pelbagai media sebenarnya adalah berdasarkan ramalan yang dibuat bagi 3000 tahun yang lalu kerana tarikh-tarikh dalam horoskop mungkin sekali tepat bagi peredaran matahari di atas ekliptik pada waktu itu. Jadi, bagaimana mungkin ramalan nasib anda akan benar pada hari ini jika anda masih lagi menggunakan tarikh bagi tahun horoskop yang salah?

 

Sedangkan apa yang masih digunakan bagi laluan matahari di atas buruj-buruj dalam kebanyakan buku-buku astronomi adalah seperti yang tertera dalam Tarikh_C. Sekarang telah disedari bahawa buruj Ophiuchus telah termasuk dalam senarai buruj yang dilalui oleh matahari di atas garisan ekliptiknya. Buruj ini dinamai sebagai “Al Hawak” oleh orang-orang Arab dan buruj ini telahpun berada dalam senarai buruj yang disinggahi oleh matahari semenjak tahun 385 Sebelum Masehi lagi (lihat Tarikh_B).

 

Jadual 2. Kedudukan buruj di zaman silam.

 

TARIKH_B

BURUJ

TARIKH_C

21/03/385 – 15/04/385 SM

Aries (Hamal)

21/03/...... – 20/04/..... SM

16/04/385 – 23/05/385 SM

Taurus (Saur)

21/04/...... – 21/05/..... SM

24/05/385 – 22/06/385 SM

Gemini (Jauzak)

22/05/...... – 21/06/...... SM

23/06/385 – 13/07/385 SM

Cancer (Sarathan)

22/06/...... – 23/07/...... SM

14/07/385 – 19/08/385 SM

Leo (Asad)

24/07/...... – 23/08/...... SM

20/08/385 – 02/10/385 SM

Virgo (Sumbulah)

24/08/...... – 23/09/...... SM

03/10/385 – 23/10/385 SM

Libra (Mizan)

24/09/...... – 23/10/...... SM

24/10/385 – 31/10/385 SM

Scorpius ('Aqrab)

24/10/...... – 22/11/...... SM

01/11/385 – 18/11/385 SM

Ophiuchus (Al Hawa')

TIADA

19/11/385 – 21/12/385 SM

Sagittarius (Qawus)

23/11/...... – 21/12/...... SM

22/12/385 – 17/01/384 SM

Capricornus (Jadiy)

22/12/...... – 20/01/...... SM

18/01/384 – 11/02/384 SM

Aquarius (Daluw)

21/01/...... – 19/02/...... SM

12/02/384 – 20/03/384 SM

Pisces (Hut)

20/02/...... – 20/03/...... SM

 

Seakan tidak ada satu kesedaran untuk mengubah fakta yang dianggap telah ketinggalan zaman ini. Kenapakah masih dikekalkan fakta yang tidak tepat ini? Dengan adanya perisian (software) yang mampu menghitung pergerakan matahari di atas ekliptik dengan tepat, maka adalah tidak wajar fakta kedudukan matahari dalam buruj-buruj di atas ini (Tarikh_C) dianggap benar!

 

Perisian Starry Night Pro 4.5.2 mampu memaparkan simulasi yang tepat kedudukan buruj-buruj bermula tahun 99,999 Sebelum Masehi hingga tahun 99,999 Masehi yang akan datang bahkan kita mampu untuk melihat senario kedudukan planet, bulan, matahari dan buruj-buruj bintang dalam masa-nyata (real time). Adakah apa-apa yang berbetulan dengan diri anda ataupun peristiwa besar pada hari itu, sama ada benar atau tidak, percaya atau tidak; tidak akan menjadi satu persoalan kerana kita boleh membuat justifikasi yang bersesuaian kerana semuanya terpulang kepada kepercayaan masing-masing.

 

2.1 Buruj Taurus dan Malapetaka

 

Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Haji Zakaria semasa perasmian ‘Munaqasyah Falak: Pengkisahan Tokoh Falak Almarhum Mohd. Khair Mohd. Taib’ pada 24 April 2005 lalu telah menyebut bahawa pengabaian umat Islam terhadap bidang ilmu falak atau astronomi telah menyebabkan mereka gagal memanfaatkan ilmu untuk ‘menelaah’ pergerakan bulan, bintang dan bumi, hingga mereka turut menjadi mangsa bencana besar seperti tsunami.

 

Beliau menambah bahawa Al Quran sendiri ketika diturunkan oleh Tuhan di peringkat awal adalah menuntut dan menggesa umat manusia supaya mengkaji cakerawala kerana alam semesta ini saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Katanya, orang Islam zaman silam berjaya mempelajari ilmu itu sehinggakan sejarah membuktikan mereka menjadi manusia ulung dalam bidang berkenaan. Bagaimanapun, kerana ilmu itu tidak dikembangkan oleh orang Islam, mereka tidak dapat mengesan pergerakan bulan dan bintang yang juga memberi kesan kepada bumi. Kelalaian terhadap ilmu ini menyebabkan manusia terseksa dan ditimpa petaka khususnya pada umat Islam sendiri.

 

Artikel penulis “Gempa Bumi Menurut Astrologi dan Astronomi” (Dewan Kosmik, April 2005) mengutarakan perbicaraan mengenai bumi di atas tanduk lembu yang dikatakan menjadi punca bencana menurut pendapat orang-orang tua dahulukala. Persoalan yang ditimbulkan ialah kenapakah orang-orang tua dahulukala berpandangan sedemikian? Apabila dikaji sedikit-sebanyak mengenai peristiwa meletupnya gunung berapi Krakatua pada jam 10.20 pagi, 27 Ogos 1883, simulasi perisian Starry Night Pro akan memaparkan satu kejutan yang berhubungan dengan riwayat Israilliyat yang telah dijelaskan pada perenggan di atas.

 

 

Rajah 6. Bumi dan Bulan berserentak di atas Buruj Lembu pada 27 Ogos 1883.

 

Simulasi di atas menunjukkan posisi bulan di atas tanduk lembu tepat pada jam 7.12 pagi, 27 Ogos 1883 sejurus sebelum Krakatua meletup dengan hebatnya pada jam 10.20 pagi. Rajah ini adalah ketika zenith di mana buruj lembu berada di atas kepala pemerhati pada waktu itu namun buruj lembu dan bulan adalah sangat jelas di ufuk timur sejurus sebelum terbit matahari.

 

Satu kepastian terjawab di sini berhubungan dengan kenapa masyarakat dahulukala mendapat petua dari alamat malapetaka ini apabila mereka melihat terbitnya “heliakel Taurus” yang menandakan alamat tidak baik akan berlaku di gugusan Nusantara apabila saja gunung berapi Krakatua akan meledak tidak lama selepas itu. Nampaknya pemahaman “perubahan Bumi dari satu tanduk ke satu tanduk menghasilkan gerak gempa” telah diwariskan kepada anak cucu mereka zaman-berzaman dan apabila petua mereka sudah tidak diambil peduli lagi, secara kebetulan kita dikejutkan ketika gempa bumi dan bencana tsunami yang juga berlaku apabila kedudukan buruj Taurus dan bulan berada dalam keadaan yang sama pada jam 11.45 malam, 25 Disember 2004 lalu (Rajah 7). Kelihatan Komet Machholz (C2004 Q2) sedang berada di bawah kaki lembu. Lazimnya komet selalu dianggap simbol malapetaka terbesar.

 

 

Rajah 7. Bumi dan Bulan berserentak di atas Buruj Lembu pada 25 Disember 2004, kelihatan jaluran Galaksi Bima Sakti di sebelah kiri merentasi Buruj Monoceros (Kuda Bertanduk).

 

Isyarat yang sama (Bumi dan Bulan di atas tanduk lembu) telah juga kelihatan menurut simulasi bagi tarikh 11 Mei 2005 (Rajah 8). Kemudian, pada 14 Mei 2005, sekali lagi gempa bumi telah berlaku di Sumatera, Indonesia. Barangkali, sebarang ramalan gempa bumi boleh dibuat hanya dengan menggunakan simulasi untuk melihat kedudukan Bumi dan Bulan di atas Buruj Taurus. Namun, sesuatu ramalan adalah untuk tempoh sama ada dalam masa sehari hingga tiga hari kemudian dan itulah yang terjadi apabila ramalan penulis bagi gempa bumi 14 Mei dijangkakan lebih awal iaitu pada 21 April sebelumnya. Penulis tetap sedar bahawa sebarang ketentuan muktamad adalah pada kekuasaan Allah Yang Maha Esa.

 

 

Rajah 8. Bumi dan Bulan berserentak di atas Buruj Lembu ketika maghrib, 11 Mei 2005.

 

 

2.11 Kenapa Buruj Taurus?

 

Ini adalah satu pertanyaan yang baik untuk menghubung-kaitkan pemahaman masyarakat lampau terhadap Buruj Lembu yang dianggap sebagai simbol bala bencana. Pada 4 Julai 1054 Masehi telah berlaku letupan supernova yang terhebat pada zamannya. Kaum China merupakan antara kaum yang terawal yang menyaksikan letupan supernova ini. Letupan supernova ini berlaku pada jam 4.00 pagi di negara China yang dapat disaksikan di seluruh dunia menurut waktu yang berlainan. Supernova atau ‘bintang tetamu’ (guest star) kerana dianggap sebagai sebuah bintang yang tiba-tiba muncul pada satu posisi yang sepatutnya tiada di situ. Letupan supernova 1054 ini sangat hebat hinggakan cahayanya sangat terang pada magnitud -6 iaitu separuh dari kecerahan bulan purnama (-12). Sinaran yang luar biasa ini berlaku dalam Nebula Ketam di Buruj Taurus. Mungkinkah kesan ledakan ini masih berterusan hingga sekarang?

 

Simulasi dalam Rajah 9 menunjukkan keadaan langit sebelah timur dengan Bulan fasa suku akhir sedang berada dalam Buruj Taurus di mana berlakunya letupan supernova di Nebula Ketam ketika awal pagi di Kaifeng, China. 

 

Rajah 9. Letupan supernova 3C144 (SN1054) di Crab Nebula pada hujung ‘tanduk lembu’ manakala Bulan sedang berada di ‘pipi kiri lembu’.

 

Menurut maklumat dari Space.com Canada, bencana tsunami yang berlaku di Acheh pada 26 Disember 2004 mungkin turut berpunca dari letusan sinar gamma yang sangat hebat yang merentasi Galaksi Bima Sakti pada malam kejadian. Teleskop sinar gamma yang mengorbit bumi telah mengesan sejumlah besar radiasi gamma yang menerjah Bumi ini dalam masa 45 jam kemudian. Radiasi gamma yang dicerap adalah yang tercerah pernah direkodkan dalam sejarah. Ketibaan sinar gamma ini berlaku pada jam 21:36 UT, 27 Disember 2004.

 

Letusan sinaran gamma ini adalah 100 kali jauh lebih dahsyat dari mana-mana letusan yang pernah direkodkan sebelum ini dan menyamai kecerahan bulan penuh purnama tetapi radiasi tenaganya adalah pada jarak gelombang panjang gamma. Sinar gamma yang dihitung ini memuncak maksima dalam masa 1.5 saat dan menurun dalam tempoh 5 minit dengan pencaran 7.57 saat. Letusan ini telah menyebabkan perubahan sementara bentuk ionosfera bumi dan melengkukkan transmissi isyarat radio gelombang panjang. Letusan sinar ini telah dikesan berpunca dari sinar gamma lembut dari bintang pengulang (repeater star) iaitu SGR 1806-20, satu bintang neutron berdiameter 20 kilometer yang berpusing setiap 7.5 saat, menyamai dengan kadar pencaran letusan sinar gamma berkenaan.

 

SGR 1806-20 adalah terletak kira-kira 10 darjah utara dari pusat Galaksi Bima Sakti dan kira-kira 45,000 tahun cahaya dari kita. Ianya mengeluarkan tenaga yang amat banyak dalam persepuluh saat dari yang dapat dipancarkan oleh matahari dalam masa 100,000 tahun. Walau bagaimanapun, sinaran gamma ini telah tidak begitu cerah apabila ia tiba di sistem suria. Namun, apa yang menakjubkan ialah inilah letusan yang paling cerah pernah dicerap.

 

2.2 Peristiwa WTC 11 September 2001

 

Serangan ke atas WTC di New York berlaku ketika para pekerja sedang bersiap-siap hendak memasuki bangunan berkenaan pada jam 8.00 pagi hari berkenaan (waktu pejabat mula dibuka), Buruj Gemini (Kembar) sedang merembang tepat di atas kepala. Secara kebetulan Buruj Gemini (Kembar) adalah bermaksud menara berkembar World Trade Center (WTC) yang menjadi serangan. Bahkan bulan turut berada di atas tanduk lembu yang bermaksud malapetaka. Suatu suasana cakerawala yang “harmonis” dengan tindakan pengganas di Bumi! 

 

Rajah 10. Buruj Gemini sewaktu serangan ke atas WTC. 

 

2.3 Turunnya Anwar Ibrahim dari Takhta Kerajaan

 

Sedar atau tidak bahawa pada 4.30 petang, 4 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari kabinet bilamana cakerawala tidak menunjukkan nasib yang baik bagi dirinya. Pada jam 4.30 petang, di langit terdapat Buruj Virgo (Wanita) berseiring dengan Buruj Libra (Dacing), Scopio (Kala Jengking) dan Leo (Singa) di atas kepala. Seakan satu kebetulan apabila kita menyedari bahawa kedudukan matahari di Buruj Leo adalah memberi isyarat atau lambang bagi Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, orang yang paling berkuasa dalam kerajaan ketika itu. Kejatuhan Anwar Ibrahim adalah kerana gosip dengan dua orang perempuan, salah seorangnya ialah Umi Hafilda Ali yang menjadi lambang Virgo. Barisan Nasional di mana Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri bernaung adalah dilambangkan oleh Buruj Libra manakala Kala Jengking merupakan perangkap yang sedang menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ke penjara selama 6 tahun!

 

 

Rajah 11. Buruj Virgo, Scorpius dan Leo pada 4.30 pm, 4 September 1998 di Kuala Lumpur

 

2.4 Pilihanraya Umum 21 Mac 2004

 

Pada jam 4.30 pagi, 22 Mac 2004, kemenangan telah diisytiharkan dengan majoriti dua pertiga terhadap Barisan Nasional (BN) tatkala Buruj Libra (Dacing) benar-benar berada di atas kepala. Hal ini mengingatkan kembali bagaimana Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, ahli falak Seberang Perai yang mempunyai ilmu menafsirkan jasad kelangitan seperti ini, lantaran itu kenapa beliau telah memutuskan untuk kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 apabila Buruj Libra di atas ufuk maghrib, 30 Ogos 1957. Benar atau tidak, hanya beliau sendiri yang mempunyai jawapannya.

 

Tarikh 22 Mac 2004 adalah medan ujian yang pertama bagi Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi, cucunda kepada Syeikh Abdullah Fahim setelah beliau mendapat mandat untuk mentadbir negara apabila diserahkan kuasa memimpim negara sebagai Perdana Menteri oleh Tun Mahathir Mohamed beberapa bulan sebelumnya. Jika bulan purnama sebagai lambang Parti Islam SeMalaysia (PAS) tetapi bulan tidak berada di langit malam berkenaan. Adakah penyelarasan “kuasa kosmos” telah digunakan untuk mewajarkan kemenangan BN ini?

 

 

Rajah 12. Buruj Libra pada kedudukan zenith sewaktu pengisytiharan keputusan pilihanraya.

 

3.0 Kesimpulan

 

Bagi orang Melayu, mereka lebih dipengaruhi oleh visi orang-orang Arab setelah mereka menerima agama Islam. PengIslaman orang-orang Melayu bermula sekitar abad ke-9 (atau lebih awal lagi). Jadi, tidaklah menghairankan jika sebuah “hadis” (ataupun riwayat Israilliyat) yang menyebut mengenai “bumi di atas tanduk lembu dan lembu di atas ikan paus” digunapakai dengan meluasnya oleh orang Melayu Islam silam apabila merujuk kepada kedudukan bumi di angkasa. Justeru, apabila berbetulan dengan malapetaka iaitu antara bencana terhebat dalam sejarah dunia pada abad ke-19 iaitu pada 27 Ogos 1883 tatkala meletupnya Krakatua, visi “bumi di atas tanduk lembu” menjadi lebih jelas kepada mereka (orang Melayu) apabila saja terbitnya bulan di buruj Taurus sebelum waktu fajar hari tersebut.

 

Visi “bumi di atas tanduk lembu” ini tentunya diwariskan turun-temurun kepada beberapa generasi dalam tempoh seratus tahun kemudian tetapi nampaknya telah menjadi wadah lelucon (gelak tawa) anak-anak zaman ini. Padahnya, visi yang telah “hampir pupus” ini telah mengejutkan penulis apabila saja berlakunya gempa bumi dan tsunami akhir Disember 2004 lalu. Kesedaran sebeginilah telah memaksa penulis untuk menulis bagi membangkitkan kesedaran anda bahawa telahan orang-orang dahulukala bukannya tiada bersebab malahan petua-petua merekalah yang harus diabadikan sebagai “sanggar sanjung” iaitu salah satu warisan kebudayaan Melayu lama.

 

Sebarang riwayat Israilliyat tidaklah boleh dihukum sebagai dusta dan juga tidak membenarkannya, namun menurut Ibnu Taimiyah; Israiliyat adalah seperti yang telah dibincangkan (bumi atas tanduk lembu) boleh diriwayatkan kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan persoalan akidah atau prinsip-prinsip asas dalam Islam. Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah RA: “Golongan ahli kitab membaca kitab Taurat dalam bahasa Ibraniyyah. Kemudian mereka menafsirkannya kepada golongan muslimin dalam bahasa Arab”. Lalu Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu mendustakannya dan katakanlah, kami telah beriman dengan Allah dan apa yang diturunkan kepada kami.

 

Bukanlah penulis ingin merumuskan bahawa segala gejala di cakerawala itu merupakan petunjuk terhadap apa yang akan berlaku di Bumi sama ada terhadap seseorang ataupun terhadap apa saja memandangkan semuanya adalah secara berbetulan belaka. Sama ada betul atau tidak, tepat atau tidak semuanya masih dalam ilmu Allah Ta’ala jua. Segala kepercayaan adalah terpulang kepada setiap individu untuk beriman kepada kekuasaan Yang Maha Esa yang telah menetapkan segala perjalanan alam sedemikian rupa menurut hukum-hukum yang ditetapkan-Nya ke atas alam semesta.

 

Kita perlu sedar bahawa segala apa yang dijadikan oleh Allah baik di langit mahupun di bumi telah ada dalam ketentuan-Nya semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Semuanya telah tertulis di Lauhil Mahfuzh. Barangkali itulah apa yang telah dizahirkan oleh-Nya di cakerawala ini iaitu berupa isyarat-isyarat yang ditunjukkan oleh-Nya dari buruj-buruj tadi yang hanya dapat difahami oleh sesiapa yang diberikan ilmu oleh-Nya. Namun, ilmu manusia hanyalah sekecil buih di lautan luas sahaja. Setakat itulah sahaja ilmu yang kita punyai dan hanya sedikit sahaja apa yang dapat kita tafsirkan (nujumkan) dari langit itu.

 

Wallahua’lam bil ghaib.



Thu Jul 21, 2005 3:00 pm

astro_jade_2000
Offline Offline
Send Email Send Email

Forward
Message #335 of 557 |
Expand Messages Author Sort by Date

KERTAS KERJA INI AKAN DIBENTANGKAN DI 'KOLOKIUM PENGHAYATAN SAINS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM' DI UUM SINTOK, KEDAH PADA 23 JULAI 2005. TENTATIF PROGRAM: MASA: 8...
Azam Noor
astro_jade_2000
Offline Send Email
Jul 21, 2005
3:03 pm
Advanced

Copyright 2009 Yahoo! Inc. All rights reserved.
Privacy Policy - Terms of Service - Guidelines - Help