Salam dari saya.
Lama saya tak menulis di falak-net dan siber-falak. Bukan apa, saya sendiri pun sibuk ke sana ke mari memberi ceramah di merata tempat di seluruh Malaysia. Pada 7 hingga 14 Februari 2007 lalu saya telah dijemput ke Brunei Darussalam atas undangan Darulifta iaitu Jabatan Mufti Kerajaan Brunei untuk memberi ceramah berkenaan falak dan seterusnya dilantik bekerja sebagai penyelidik di sana. Saya akan berulang alik dari Malaysia ke Brunei setiap bulan mulai April ini.
Insya Allah, saya telah diberikan peluang yang besar untuk membuat penyelidikan berkenaan alat-alatan astronomi seperti astrolabe, rubu' mujaiyab dan banyak lagi termasuk manuskrip falak Islam lampau bahkan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Datuk Mufti Brunei sendiri telah memaklumkan kepada saya sewaktu beliau menjemput saya ke rumahnya pada 9 Feb. untuk menyatakan bahawa penubuhan Bahagian Falak di Darulifta akan memberikan satu bahagian yang penting bagi mengembangkan kembali ilmu astronomi Islam di Brunei.
Syukur alhamdulillah, saya telah diberikan peluang untuk menyempurnakan inspirasi ini yang amat-amat jarang diperolehi oleh rakyat Malaysia. Peluang bekerja untuk saya rupa-rupanya ada di Brunei. Sebelum ini susah sangat saya hendak mendapat kerja di Malaysia, permohonan kerja melalui JPA dan USM pun tidak dapat sedangkan puluhan ribu graduan universiti menganggur. Di Brunei, mereka tidak mementingkan berapa jumlah A yang diperolehi dalam peperiksaan dan juga mereka tidak melihat kepada ijazah kelas pertama ataupun kelas kedua akan tetapi mereka ingin mengetahui bagaimana dan sejauh mana bakat dan minat kita dalam sesuatu bidang yang dipohon. Tidak terkecuali saya. Selama seminggu saya ditemuduga dan diminta memberi ceramah astronomi di hadapan Datuk Mufti, Timbalan dan orang ramai serta juga berkomunikasi dengan ramai staf di Darulifta. Syukur alhamdulillah, semuanya dapat ditempohi oleh saya dengan jayanya hasil dari pendedahan memberi ceramah dan syarahan selama ini.
Lihatlah, di bawah ini adalah gambar-gambar saya semasa di Brunei.
Sementara itu, saya akan membentangkan kertas kerja di 'Persidangan Astronomi Arab Sedunia' sempena "Tahun Matahari Antarabangsa" pada 20 hingga 23 Mac di Pulau Djerba, Tunisia. Saya akan ke Mesir pada 15 hingga 19 Mac dan Iran pada 24 hingga 26 Mac. Pulang ke Malaysia pada 27 Mac. Tujuan ke Mesir dan Iran adalah untuk meninjau peralatan dan manuskrip astronomi Islam untuk dibeli dan dibawa pulang. Saya sertakan maklumat senarai pembentang di Tunisia untuk pengetahuan anda. Nama saya berada pada senarai ke-34. Finally, AZAM GOES INTERNATIONAL......................
Demikian dahulu untuk makluman anda. Sekian, wassalam.

Di depan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan sebelum solat Jumaat pada 9 Februari bersama Dr. Hisham Hashim dan Pengiran Hj. Ibrahim Pengiran Hj. Bakar (tengah). Masjid ni berkubah emas tulen bahkan pili untuk berwuduk pun disadur emas tulen! Hebat.

Di Galeri Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Darulifta, Brunei.

Banyaknya artifak astronomi di galeri Darulifta ni!!!

Bergambar dengan dua astrolabe gergasi Parsi.

Cubalah bayangkan betapa tingginya astrolabe Parsi ini!